Thursday, November 13, 2008

UPSR 2008... Bagaimana keputusan di Terengganu?

Keputusan UPSR 2008 Lebih Baik Berbanding Lima Tahun Lepas

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, pada keseluruhannya lebih baik berbanding lima tahun sebelumnya dengan jumlah yang mendapat semua A meningkat.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata daripada 518,616 calon UPSR seramai 46,641 orang atau 9.2 peratus mendapat semua A dalam matapelajaran yang mereka ambil, berbanding 7.8 peratus lima tahun sebelumnya.Peningkatan juga jelas berlaku pada bilangan calon yang menjawab sepenuhnya soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris meningkat dengan seramai 159,234 pelajar menjawab soalan Sains dalam Bahasa Inggeris berbanding 1,324 orang tahun sebelumnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini bagi mengumumkan keputusan UPSR 2008.Beliau berkata bagi soalan Matematik, seramai 238,153 pelajar menjawab sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris berbanding 1,075 pelajar pada tahun 2007."Semua calon dibenarkan menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya atau Bahasa Melayu atau bahasa ibunda atau bercampur-campur dalam bahasa Inggeris, Melayu dan ibunda," kata beliau.Alimuddin berkata pencapaian keputusan yang menggalakkan juga dicatat bagi lima mata pelajaran, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina Penulisan, Bahasa Tamil Penulisan dan Sains."Kesemua mata pelajaran ini menunjukkan peningkatan yang signifikan dari segi gred cemerlang A iaitu 4.1 peratus iaitu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Bahasa Melayu Pemahaman untuk SJK."Untuk subjek Bahasa Inggeris SK pula, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus manakala Bahasa Cina Penulisan mencatatkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus dengan peningkatan tertinggi sebanyak 4.8 peratus dicatatkan menerusi subjek Bahasa Tamil Penulisan," katanya.Beliau berkata, aras kenaikan atau penurunan yang signifikan bagi prestasi mata pelajaran yang diukur dari nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) ialah 0.03."Enam mata pelajaran yang mempamerkan peningkatan signifikan ialah Bahasa Melayu Pemahaman SK pada aras 0.07, Bahasa Melayu Penulisan SK (0.06), Bahasa Melayu Penulisan SJK (0.11), Bahasa Cina Penulisan (0.07) dan Bahasa Tamil Penulisan pada 0.04, manakala peningkatan tertinggi ialah menerusi subjek Bahasa Inggeris SK pada 0.24," katanya. (BERNAMA)
Apa yang menjadi persoalan ialah berapa peratuskah kejayaan yang dicatat oleh sekolah-sekolah luar bandar seperti Sek. Keb. Bukit Diman, Sek. Keb. Kg Kua, Sek. Keb Tengkawang, Sek Keb Shukur (Kuala Jengai, Dungun), Sek Keb Telemong, Sek Keb Dura, Sek Keb Ladang Fikri, Sek Keb Ladang Jaya, Sek Keb Ladang Tayor, Sek Keb Kg Bukit, Sek Keb Ladang Gajah Mati dan lain-lain sekolah luar bandar di Terengganu. Penulis mengutarakan persoalan ini kerana ramai wakil rakyat dan YB dari Parlimen Hulu Terengganu adalah bekas-bekas guru. Ahli Parlimen Hulu Terengganu pula bekas Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, begitu juga ADUN Ajil, ADUN Telemong, ADUN Kuala Berang. Berjayakah sasaran kementerian pelajaran dan kerajaan menggunakan pengajaran dan pembelajaran bahasa inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik? Opps lupa, YB Datuk Razali Ismail - Timbalan Menteri Pelajaran (bekas Pengarah Pendidikan Terengganu) juga perlu menjawab persoalan ini.
Penulis bukan mempertikaikan kemampuan pelajar-pelajar UPSR dari Hulu Terengganu, cuma inginkan pandangan dan pendapat yang sebenarnya dan realiti daripada YB Cikgu dari Hulu Terengganu ini berkaitan dengan isu ini. Apa yang pasti YB-YB ini tahu dan memahami keadaan yang sebenarnya. Adakah YB-YB ini akan terus menyokong dasar kementerian ataupun berubah selepas ini. Kita usah pertikaikan pencapaian keputusan UPSR bagi sekolah-sekolah bandar. Sampai bila pun luar bandar akan ketinggalan disebabkan banyak faktor faktor semulajadi dan tempatan.
Sekian.

Wednesday, November 5, 2008

BAHASA MALAYSIA & BANGSA MALAYSIA

Salam bloggers....
Saya merasa terpanggil untuk merungkaikan permasalahan ini memandangkan isu remeh diperbesarkan oleh mereka yang berkepentingan kononnya sebagai wira melayu. Ha... Ha...
Isu utamanya ialah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang memberi kebenaran kepada MPPP untuk meletakkan pelbagai bahasa di papan tanda. Malah dalam hal ini Gerakan pun menyokong kerajaan negeri (DAP). Ikuti sedutan berita bernama.
Gerakan Sokong Papan Tanda Jalan Pelbagai Bahasa Di Tapak Warisan

PULAU PINANG, 5 Nov (Bernama) -- Gerakan menyokong penuh cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menggunakan papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa di tapak warisan Georgetown.Pengerusi Badan Perhubungan Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan berkata cadangan itu sesuai dengan komposisi penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan memperkenalkan kebudayaan yang pelbagai di negeri ini."Dengan kehadiran ramai pelancong ke negeri ini ia juga secara langsung akan meningkatkan lagi ekonomi negeri khususnya bagi sektor perkhidmatan seperti perhotelan, pengusaha restoran dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.
Teng menjelaskan isu papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa telah dibangkitkan beberapa kali sewaktu Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) dan cadangan itu juga telah dipersetujui oleh barisan Exco yang lalu."Sejumlah peruntukan juga telah disediakan bagi menjayakan cadangan itu, bagaimanapun ia tidak dapat dilaksanakan kerana kekalahan teruk BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 8 Mac lepas," katanya.
Teng berkata cadangan kerajaan negeri itu tidak menyalahi undang-undang dan dan semangat yang terkandung dalam artikel 152 Perlembagaan persekutuan.
ikuti kisah ini.... sumber utusan malaysia
Papan Tanda GGMM saman kerajaan P. Pinang

PROTES... Sebahagian ahli Gabungan Graduan Melayu Muda mengadakan demonstrasi selepas saman difailkan terhadap Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan kerajaan negeri berhubung isu papan tanda pelbagai bahasa di Georgetown, semalam.

PULAU PINANG 4 Nov. – Ahli Exco Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Nik Rizman Sapian hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung tindakannya meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memasang papan tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan di Georgetown.

Nik Rizman yang juga seorang akauntan memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Sahrihan & Hamdan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau yang bertindak sebagai plaintif menamakan MPPP sebagai defendan pertama manakala kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai defendan kedua.

Nik Rizman menuntut deklarasi mahkamah bahawa tindakan defendan kedua meluluskan permohonan defendan pertama untuk memasang tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan Georgetown adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga menuntut injunksi bagi menghalang defendan pertama atau wakilnya daripada memasang papan tanda tersebut.

Mengikut pernyataan tuntutan, Nik Rizman mendakwa sebagai seorang warganegara, beliau bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan setiap peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.
Dakwa plaintif, selepas membaca laporan akhbar, laman web dan blok mengenai perkara itu, beliau merasa amat terganggu dan tersinggung dengan permohonan yang dibuat oleh defendan pertama dan dengan keputusan yang dibuat oleh defendan kedua.

Kata plaintif, keputusan tersebut adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Plaintif pada 30 Oktober lalu telah menghantar notis tuntutan kepada defendan-defendan berkenaan menuntut agar membatalkan keputusan untuk memasang papan tanda tersebut.
Bagaimanapun, defendan-defendan didakwa telah mengabaikan tuntutan yang dibuat itu.
Sehubungan itu, plaintif menuntut supaya injunksi bagi menghalang defendan pertama atau wakilnya daripada memasang papan tanda berkenaan, selain kos dan lain-lain relif yang sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Pengerusi GGMM, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, gabungan yang terdiri daripada golongan profesional itu memfailkan saman kerana kerajaan Pulau Pinang seolah-olah tidak menghormati bahasa Melayu.
‘‘Selepas mengkaji dari semua aspek, kami mendapati peluang adalah sama rata. Justeru, tidak ada salahnya mencuba kerana ia lebih baik daripada hanya melaung-laungkan perasaan tidak puas hati tetapi tidak berbuat apa-apa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, tindakan mereka itu untuk menunjukkan bahawa perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan terutama membabitkan kaum Melayu tidak boleh sesekali dicabar.
Katanya, gabungan itu melambangkan bahawa golongan Melayu muda tidak akan berdiam diri dan akan mencabar sesiapa saja di mahkamah.
‘‘Inilah generasi Melayu baru yang akan mempertahankan hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Jadi, jangan sesekali mencabar kaum Melayu dan perlembagaan,” katanya.
Seramai 200 ahli GGMM dari beberapa negeri termasuk Johor, Perak dan Selangor berkumpul di Padang Kota Lama, sebelum berarak kira-kira 200 meter ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Maka benarlah kenyataan Datuk Zaid Ibrahim bahawa Melayu suka perbesarkan isu remeh yang banyak membuang masa umat Melayu.!!

Tuesday, November 4, 2008

PENGKHIANAT UMNO ADALAH PERASUAH POLITIK

Salam bloggers....
Kerajaan telah menurunkan harga runcit petrol dan disel baru-baru ini. Namun harga barang makanan masih lagi kekal sebagaimana sebelum penurunan harga. Inilah harga yang harus dibayar oleh setiap rakyat angkara kerajaan cepat melatah dengan menaikkan harga pertol RM 0.78/liter semasa harga pertol dunia melambung.
Sama ada pemimpin kerajaan sedar atau tidak, rakyat di pedalaman akan merasai kesan ini sampai bila-bila. Bagi petani yang hanya ada motosikal hantu rebat tunai tidak membawa sebarang pengertian dan makna. Ini kerana motosikalnya tidak pernah punyai cukai jalan dan tunggang hanya untuk ke kebun dan masjid/surau selain ke kedai kopi.
Daripada tinjauan saya harga Maggi pun kini mencecah RM 1.00 sebungkus. Bak kata orang dengan duit dalam poket jika ada RM 5 pun langsung tidak membawa makna. Makan pagi pun paling kurang RM 4.50... tu belum lagi isi minyak motor. Motor pancit dan lain-lain.
Dalam bab pengangkutan awam pula, dulu Pak Lah pernah berkata dengan pengurangan subsidi petrol daripada kerajaan maka kerajaan akan meningkatkan sistem pengangkutan awam. Tapi yang nyata dan jelas hanya Rapid KL dan Rapid Penang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan di perbadankan. Lain-lain negeri hanya melihat berputih mata. Bahkan terpaksa naik 'prebet sapu' untuk suatu destinasi dengan tambang yang berkali ganda.
Baru baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad menyarankan agar pengagihan dan pengedaran secara berpusat dan tersusun di wujudkan khusus untuk sampai ke golongan sasar/luar bandar. Persoalannya siapakah pemain utama dalam mengeluar, membungkus dan mengedarkan barangan pengguna ini? Tentunya ahli perniagaan kaum cina kan? Kaum melayu hanya wujud dan hadir diperingkat pertengahan sahaja antara rantaian pengedaran ini. Adakah kerajaan akan menggunapakai konsep PERNAS semula?
Hasrat kerajaan untuk mewujudkan usahawan melayu memang bagus. Akan tetapi siapakah yang akan membantu dan membentuk golongan usahawan baru ini. PUNB, TEKUN, MARA?Sekadar kertas kerja, sesiapa pun boleh sediakan. Tapi modal memainkan peranan penting. Maka tidak hairanlah sekiranya dalam UMNO sendiri pun ramai golongan usahawan melayu/kontraktor menerajui kepimpinan. Dengan jawatan dalam UMNO, maka 'network' akan lebih mudah terjalin sesama pemimpin dan kerajaan. Mengalirlah sumber sumber pelaburan untuk kesenangan. Sebenarnya politik UMNO membuka jalan dan peluang kepada bakal usahawan dan usahawan melayu.
Berkaitan dengan rasuah pula, pecaya atau tidak..... bagi ku sesiapa yang ada peluang akan mengamalkan atau pun dengan kata lain pernah mengambil rasuah biarpun hanya berjawatan Pembantu Pejabat Kerajaan. Sektor swasta pun sama daripada Despatch hinggalah kepada CEO.... Yang pasti CEO tidak makan sikit, paling kurang penerbangan pergi balik melancung ke luar negara ataupun paling kurang yuran golf tahunan sebagai balasan menganugerahkan projek. Fikir-fikirkanlah..... Dalam UMNO pun sama. Pempimpin UMNO Pusat menggelarkan rasuah politik. Tapi izinkan aku menggunakan istilah PENGKHIANAT UMNO untuk golongan yang mengamalkan politik wang dalam UMNO. Andainya hal ini tidak dibendung dengan segera maka akan karamlah bahtera UMNO secara beransur-ansur. Ini menyebabkan golongan belia tidak berminat untuk sertai UMNO kerana jika mempunyai ketokohan dan kebolehan nescaya akan dicantas @ di peteh keting oleh pemimpin UMNO sendiri.
Aku lihat dewasa ini, Melayu UMNO apabila tersepit seringkali membangkitkan Perkara 153 Peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu. Aku sendiri terkeliru untuk apa diperdebatkan hal ini sedangkan ia telah termaktub & termeterai semasa penubuhan Tanah Melayu/Malaysia dan semua rakyat faham mengenai hal ini. Hanya mereka yang berkepentingan mempolitikkan isu ini untuk menonjolkan diri sebagai pejuang tulen UMNO!
Sekian, sama sama lah kita fikirkan........

Monday, November 3, 2008

Panas!!! Krisis Kepimpinan UMNO Terengganu

Salam blogger,

Sekiranya YAB Datuk Ahmad Said menggugurkan YB Yahya Khatib sebagai EXCO Terengganu maka petanda yang amat jelas bahawa UMNO Terengganu berada diambang kehancuran. Sedangkan Pak Lah sebagai Presiden pun berpendapat perlembagaan UMNO tidak menghalang mana-mana ahli parti ingin bertanding merebut jawtan dalam parti. Menurut YB Rosol Wahid, pemimpin veteran UMNO Terengganu seperti Senator YB Dato Abd Rahman Bakar dan YB Datuk Tengku Putera Awang terlalu takutkan kepada pemimpin baru yang akan memberi saingan dan sinar baru kepada UMNO Terengganu. Secara jujurnya pemimpin veteran ini tidak dapat menerima hakikat bahawa eranya telah berakhirnya dan sinarnya tidak akan berkilauan lagi. Saya yakin dan percaya bahawa kepimpinan UMNO Pusat tidak akan memandang lagi tokoh-tokoh veteran ini untuk mengisi jawatan kabinet walaupun di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Terengganu selepas pemilihan UMNO bahagian baru-baru ini secara jelas dan nyata menunjukkan terdapat 2 kumpulan utama yang memainkan peranan utama dalam menentukan halatuju UMNO Terengganu. Kumpulan pertama dibarisi calon-calon pilihan bekas MB Terengganu dan kumpulan kedua calon-calon pilihan MB Terengganu YAB Datuk Ahmad Said. Pertembungan boleh dikatakan terjadi di semua bahagian menyaksikan persaingan sengit.
Saya berpendapat dan mewakili golongan belia, sudah sampai masanya kedua-dua tokoh diatas dan ramai lagi veteran UMNO yang era telah tenggelam patut dikorbankan ataupun dihanyutkan terus ke Sungai Terengganu pada pilihanraya akan datang. Adalah lebih baik korbankan tokoh-tokoh veteran ini daripada Terengganu jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya akan datang! Terengganu sebenarnya memerlukan pemimpin seperti YB Datuk Razali Ismail - kini Timbalan Menteri Pelajaran untuk menerajui Terengganu sebagai Menteri Besar akan datang. Tapi sayangnya tokoh intelektual sebegini dicantas hebat oleh UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri dan beliau kalah dalam pertandingan merebut Naib Ketua Bahagian Kuala Terengganu. Daripada pemerhatian saya tiada lagi intan yang dapat memacu dan menerajui pembangunan Terengganu selain YB Datuk Razali Ismail. Saya yakin dan percaya Datuk Razali dicantas disebabkan beliau bukanlah calon yang naik secara berperingkat dalam UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Beliau terpilih untuk menawan Kuala Terengganu daripada PAS pada 2004, setelah memenangi Parlimen Kuala Terengganu dan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran (2004). Malah pada pilihanraya lalu pun Datuk Razali nyaris-nyaris kecundang di tangan Mat Sabu (PAS).
Sebenarnya inilah barah yang wujud dalam UMNO Terengganu. Pemimpin veteran berebut ingin mengekalkan jawatan Ketua Bahagian dan mereka akan bermati-matian menghapuskan siapa saja yang akan menentangnya. Mereka mungkin lupa bagaimana YAB Datuk Seri Amar Diraja Hj Wan Mokhtar Ahmad dimalukan pada 1999. Terduduk dan tidak percaya kepada kekalahannya. Walaubagaimana pun peristiwa 1999 tidaklah sehebat 2008 yang mana majoroti 2/3 dinafikan di parliman. Kedah, Perak, Pulau Pinang jatuh ketangan pembangkan dan Kelantan kekal 18 tahun menghijaukan Kelantan. Mungkin kita lupa Wilayah Persekutuan juga sebenarnya jatuh ke tangan pembangkang.
Buat pemimpin UMNO Terengganu berkhidmatlah dengan ikhlas untuk agama, bangsa dan negara. Akan tetapi di zaman serba mencabar ini siapakah yang ingin berkhidmat secara ikhlas tanpa harapkan balasan? Kalau tak dapat dicalonkan sebagai YB pun dapat jawatan dalam bahagian pun dah dikira bagus. Limpahan nikmat menduduki kerusi YB atau bahagian akan diperolehi melalui projek2 pembangunan kampung.
Sekian, terima kasih.
Terimalah teguran ini dengan membina... . Aku bebas mewakili golongan belia....