Sunday, March 7, 2010

"AMANAH MENJANA KEMURNIAN AKHLAK ISLAM"

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran allah s.w.t dengan meningkatkan lagi kualiti ibadat, samada yang wajib atau pun sunat sebagai bukti ketakwaan kita kepada allah s.w.t.

Tunjang kepada kewujudan ummah terbilang diasaskan kepada penerapan nilai akhlak mulia iaitu amanah. Setiap umat islam dianjurkan supaya beramanah,kerana insan yang cemerlang ialah yang paling baik menjaga dan melaksanakan amanah.


Sifat amanah adalah sangat dituntut dalam islam. Amanah ialah sifat yang tidak memungkiri. Ia juga menunjukkan kejujuran dan sikap tidak menyimpang daripada arahan atau amanat yang diterima. Seseorang yang amanah ialah yang dapat menjalankan tugas tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Disamping itu, tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan terbaik walaupun tanpa ketua disisinya.Untuk memastkan pelaksanaan tugas tersebut. Seseorang itu didiwakilkan oleh ketuanya untuk menerajui jabatan atau agensi semasa berada diluar pejabat dalam waktu yang panjang dan orang yang berkenaan mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang biasanya tidak diluluskan oleh ketuanya, maka orang tersebut telah berlaku tidak amanah.

Firman allah s.w.t :

"Sesungguhnya kami telah mengemukakan tanggungjawab amanah ini kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya). Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakkan manusia itu suka melakukan kezaliman dan suka pula berbuat perkara-perkara yang tidak patut dilakukan".

(Al-Ahzab ayat 72)


Amanah ialah satu nilai yang dapat dilihat melalui tindakan, seperti menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, membelanjakan harta awam mengikut peraturan yang ditentukan dan jauh sekali daripada melakukan pembaziran,rasuah,penyelewengan dan salah guna kuasa.Tegasnya sifat amanah adalah merupakan satu daripada faktor penting dalam membantu kejayaan seseorang untuk mengajar kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat.Kejayaan dalam melaksanakan amanah didunia akan membawa kebaikan hidup diakhirat. Maka sebab itu islam sangat mengambol berat mengenai amanah dikalangan umatnya.

Sesuatu pentadbiran kerajaan tidak boleh diuruskan jika tidak ada amanah,pengurusan dan pentadbiran tidak akan dapat dilaksanakan,malah boleh menyebabkan haru-biru dan keruntuhan kuasa kerajaan. Contohnya, jika pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk mengutip hasil mahsul negara tidak beramanah, sudah tentu khazanah negara akan susut. Ini bermakna pemerintah (kerajaan) tidak dapat memperuntukkan kewangan yang cukup bagi membiayai urusan pentadbiran dan projek-projek pembangunan insan dan negara.

Dari segi amanah dalam perniagaan pula,pekerjaan yang tidak amanah dalam menjaga harta benda dan kewangan majikannya lambat laun boleh menyebabkan perniagaan itu muflis dan dengan ramai pekerjaan dan peniaga sesebuah negara tidak beramanah dalam urusan dengan pedagang lain, maka dagangan dalam dan luar negara tidak akan berjalan dengan baik dan berkembang. Dengan itu ekonomi negara tidak akan tumbuh.

Sifat amanah yang menjadi salah satu daripada sifat yang wajib bagi rasul kita junjungan besar nabi muhammad s.a.w bermaksud,kepercayaan,boleh dipercayai,jujur atau orang yang boleh dipercayai.Maksudnya seseorang itu boleh melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya tanpa melakukan sebarang unsur-unsur penyelewengan.

Pri-perlunya amanah kepada umat islam bolehlah diperhatikan kepada maksud hadis berikut, dari Ali r.a katanya, kami duduk bersama rasulullah s.a.w , lalu muncul seorang daripada keluarga al-aliyah dan bertanya kepada rasulullah : wahai rasulullah !, beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang palling berat dalam agama dan apakah yang ringan?. Maka jawab rasulullah s.a.w: yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua kalimah shahadat,dan yang paling berat ialah amanah.Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah. Sembahyang baginya dan tiada zakat.

(Riwayat al-bazar at-tabrani)

Hadis tersebut menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab untuk melaksanakan amanah,hingga baginda menyatakan tidak ada agama bagi orang yang tiada amanah.Tanggungjawab amanah itu menjadi serangkai atau bergandingan dengan agama.Seterusnya dari insan r.a katanya: rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya".

(Riwayat imam ahmad,al-bazar at-tabrani)
Kalau diperhatikan daripada kedua-dua hadis yang dibacakan tadi,tentulah dapat dibuat kesimpulan berhubung dengan keadaan yang berlaku ditengah-tengah masyarakat kita hari ini.Bagaimana dengan kedudukan orang yang terlibat dengan kes rasuah,kes pecah amanah yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit sebagaimana yang dipaparkan oleh media cetak,dituntut dan didengar melalui media elektronik.Tidakkah menunjukkan mereka tidak amanah,sedangkan amanah itu sendiri sangat dituntut dalam ajaran islam?. Di samping itu, marilah kita perhatikan pula kepada insiden-insiden tidak amanah yang dalam masyarakat kita, apakah tindak-tanduk kepada mereka yang diamanahkan kuasa benar-benar melaksanakan amanahnya dengan penuh tanggungjawab?.

Ingatlah!,orang-orang yang telah melakukan perbuatan khianat atau tidak amanah akan diisyaratkan dihadapan semua makhluk pada hari pembalasan,seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a dari nabi s.a.w sabdanya yang bermaksud : setelah allah mengumpulkan semua makhluk dari awal hingga akhirnya, akan dikibarkan bendera hati setiap pengkhianat lalu dikatakan : inilah pengkhianatan sipulan bin sipulan.

(Riwayat muslim)

Justeru, mahukah kita kalau dihari pembalasan nanti diisyaratkan sebagai pengkhianat sebagaimana yang disebutkan dalam maksud hadis tadi? atau kita bersedia untuk menghindarkan diri daripada terjerumus kedalam golongan yang dimaksudkan itu?.Bagi menghindarkan diri seseorang daripada diisyaratkan sedemikian rupa dihari pembalasan kelak,maka tunaikanlah apa yang diamanahkan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum dan syariat serta janganlah mengkhianatinya.Lihatlah pada firman allah:

"Sesungguhnya allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum diantara manusia (allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu, Sesungguhnya allah sentiasa mendengar,lagi sentiasa melihat".

(An-Nisa' ayat 58)

Setiap umat islam dianjurkan berpegang teguh dengan kemuliaan sifat amanah hinggakan terhadap orang yang mengkhianatinya sekalipun, kita dinasihatkan suoaya tidak bertindak balas dengan cara khianat.Tegasnya sifat amanah adalah menjadi tunggak kepada kemuliaan akhlak umat islam.

Setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya merupakan amanah.Ikhlas dalam ibadat kepada allah adalah amanah.Membuat ikhsan kepada orang perseorangan atau masyarakat adalah amanah.Memberikan hak kepada yang berhak adalah amanah.Demikianlah luasnya pengertian amanah yang perlu kita tunaikan.

Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab melaksanakan amanah umpamanya sebagai kakitangan awam atau swasta mempunyai tanggungjawab terhadap kerja-kerjanya,bertanggungjawab terhadap ketua,majikan,malah harta benda dan segala peralatan ditempat kita bekerja.Begitu jugalah sebagai suami mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap isterinya malah sebagai ketua dalam keluarga tersebut, sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang berat untuk melaksanakan amanah terhadap isteri-isteri,anak-anak,ahli-ahli dibawah peliharaan dan jagaan kita.

Demikian juga bagi seorang isteri ada tanggungjawab berat terhadap suami dan mengekalkan hubungan akrab dengan ibu bapa dan keluarga suami. Apabila telah menjadi ibu, tanggungjawabnya pula semakin bertambah untuk melaksanakan amanah allah yang telah mengurniakan anak kepadanya.

Jelaslah bahawa amanah merupakan tanggungjawab besar yang mesti dipelihara,samada berbentuk fizikal atau kebendaan seperti barangan,wang dan sebagainya atau moral seperti bekerja dengan amanah juga menuntut pelaksanaan kerja yang cekap,layanan yang ramah dan mesra,menepati masa dan janji ditunaikan.

Sifat amanah yang menampilkan kemuliaan akhlak serta kesempurnaan peribadi seseorang.Dari Ubadat bin As-Samir meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Berikanlah padaku enam jaminan dari diri kamu,aku menjamin syurga untuk kamu:

Pertama : Benar bila berkata

Kedua : Menepati janji

Ketiga : Menunaikan amanah

Keempat : Pejamkanlah mata kamu daripada yang ditegah

Kelima : Peliharalah faraj (kemaluan) kamu

Keenam : Tahanlah tangan kamu

(Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Justeru , bagi sesiapa yang ada tanggungjawab melaksanakan tuntutan terhadap amanah, maka tunaikanlah amanah itu dengan adil dan sempurna kepada yang berhak. Sekiranya tidak dapat dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, balasan yang menanti diakhirat kelak amatlah pedih. Sebaliknya jika dapat dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas,ganjaran yang menanti kelak sangatlah besar. Firman allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman !, janganlah kamu mengkhianati (amanah) allah dan rasulnya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)".

Wednesday, February 18, 2009

ISU BOGEL (CINA) & VIDEO LUCAH (MELAYU) DI MALAYSIA

Salam bloggers...
Penulis dan golongan belia tidak kisah dengan isu bogel pemimpin PKR, ADUN Bkt Lanjang dan EXCO Selangor itu. Apa yang jelas dan nyata beliau bukan melayu dan bukannya beragama Islam, sama seperti Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek. Setiap agama melarang penganutnya mengamalkan seks bebas! Isu-isu seperti itu tidak akan bertahan lama di bibir masyarakat memandangkan sumbangan terhadap kemajuan dan suara bangsa Cina melebihi segala-galanya. Isu yang membabitkan ADUN Bkt Lanjang itu turut mendapat simpati daripada Wanita MCA dan Dr Chua Soi Lek sendiri.
Sebenarnya, apa yang ingin penulis ketengahkan kali ini ialah tentang berlambak-lambaknya video lucah Melayu (VCD ataupun versi handphone). Boleh didapati dimana mana sahaja terutamanya di kedai handphone. Sangat mudah dan murah. Daripada tinjauan penulis video tersebut terdapat ramai pelakon-pelakon remaja dan belia, malah terdapat juga yang masih dengan pakaian sekolah!! Bergaya dengan bangganya. Masya Allah! Dalam bab dialek penggunaan bahasa dalam video tersebut usahlah cerita, ada loghat utara, kelatan, terengganu, kuala lumpur dan terdapat juga indonesia. Dalam kereta pun jadi! Mujarab Tongkat Ali! Majoriti pelakon hebat ini adalah pasangan melayu! Mungkin Islam.
Dewasa ini, masyarakat Malaysia seakan-akan tidak kisah berkaitan dengan isu moral. Ini kerana terdapat pemimpin kerajaan yang dikaitkan dengan isu moral dapat diterima oleh masyarakat dan kembali menjadi pemimpin parti. Itu belum ambilkira tentang kakitangan kerajaan yang terlibat dengan isu moral tetapi mahkamah menjatuhkan hukum didapati tidak bersalah dan dibebaskan yang tak perlu penulis jelaskan disini. Fikir-fikirkanlah... Bahkan isu sumpah turut menjadi mainan, yang mana rakyat semakin binggung untuk menilai siapa yang bersalah!
Sekiranya kejadian isu moral ini dilakukan oleh pemimpin dunia kelas pertama, sudah tentu dengan rela hati meletak jawatan dan berundur. Malah ada yang sanggup bunuh diri, umpamanya. Tetapi, di Malaysia isu-isu moral, rasuah dan salahlaku seks umpama mencurah air ke daun kaladi! Tidak mampu bertahan lama. Sekejap je, paling lama 5 tahun je. Lepas tu buka buku baru. Sepenggal jer....
Bukan mudah untuk melantik dan memilih pemimpin. Rasuah dan seks adalah pemusnah hidup pemimpin, artis dan manusia!

Bagi penulis, sekiranya terbukti pemimpin PKR itu terhebat di kalangan penduduk & pengundi DUN Bukit Lanjang, maka tidak perlulah beliau meletak jawatan. Kos pilihanraya berkali-kali ganda di zaman ekonomi gawat ini. Kos tersebut adalah lebih baik disalurkan atau diagihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan termasuklah yang dibuang kerja. Sungguhpun telah merdeka lebih 50 tahun, namun masih ramai rakyat Malaysia yang miskin! Kais pagi, makan pagi. Tengoklah bersamamu TV3...

Coretan ringkas ini pendapat peribadi penulis, tiada kaitan yang hidup @ mati....
Luahan ikhlas mengenai bangsa Melayu terkini.








Saturday, February 14, 2009

Politik Terengganu & Semasa

Salam bloggers...
Apabila kekalahan sesuatu pilihanraya terjadi, pasti pemimpin atasan akan mencari punca dan sebab kekalahan calon-calonnya. Pasti terdapat yang menjadi mangsa. Lazimnya orang bawahan menjadi mangsa dan puncanya. Tetapi sekiranya kemenangan dicapai, tiada pula pemimpin atasan memuji golongan bawahan dan pekerja parti golongan bawahan ini. Pemenang dan pemimpin atasan akan menganggap calonnya hebat dan disukai ramai serta mampu membawa perubahan. Calon yang menang akan dirai di hotel 5 bintang. Manakala pekerja parti dan golongan bawahan hanya dirai di khemah serta bergotong royong pula. YB dengan pakaian yang cantik dan segak hanya 'tolong berposing' untuk merakamkan gambar. Jauh sekali untuk bermandi peluh bersama-sama bergotong royong. Ini kerana musim pilihanraya telah berakhir.
Bab pengerusi JKKK Terengganu tidak telus dalam menjalankan tugas adalah cerita lama yang diberi nafas baru. Penulis masih ingat di zaman Terengganu diperintah oleh PAS, banyak wang ehsan di salurkan dengan hanya isi borang sahaja pasti mendapat RM 300. Rezeki bergolek... Masa itu penulis tinggal di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), pusat pemerintahan KETENGAH serta bandar baru yang diwujudkan khususnya untuk membangunkan zon tengah Terengganu. KETENGAH adalah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah. Penulis melihat ramai penerima bantuan wang ehsan pada masa itu berkereta dan ramai juga kakitangan KETENGAH yang mendapatnya. Sedangkan daripada pandangan mata kasar penulis, purata pendapatan kasar sebahagian penduduk di AMBS ialah RM 500 kebawah. Boleh dikategorikan sebagai miskin tegar. Malah menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai ramai pembeli rumah projek KETENGAH tidak mampu membayarnya sepenuhnya. Tambahan pula kini kekurangan peluang pekerjaan di AMBS.
AMBS di bawah naungan ADUN Bukit Besi, YB Datuk Din Adam bekas Exco musim lalu. Dulu Bukit Besi terkenal sebagai industri bijih besinya. Selepas tahun 1970 Bukit Besi terus sepi dan tersisih dari pembangunan. Yang ada hanyalah binatang ternakan menghiasi jalan-jalan bandar Bukit Besi. Perumah KETENGAH di Bukit Besi juga ramai didiami oleh rakyat Malaysia Myanmar(Burma) (peranakan Kedah). Sebelum pilahanraya 2008, rancak juga berita tentang UiTM akan menubuhkan universiti di Bukit Besi, syukur ke hadrat Ilahi tentang kemajuan yang akan dan bakal diperolehi oleh DUN Bukit Besi!. Tapi itu, dulu. Adakah MB Terengganu, YAB Datuk Ahmad Said akan mengubah semula tapak UiTM ini dari Bukit Besi ke Kemaman?
Dewasa ini, sudah sampai masanya pemimpin JKKK dipilih secara pengundian dan pemilihan serta bukan lantikan daripada wakil-wakil rakyat. Wakil rakyat hanya boleh melantik Setiausaha/Bendahari JKKK sahaja. Penulis menyokong penuh sekiranya pengerusi JKKK itu terdiri daripada golongan bukan berparti. Pengerusi JKKK perlu jujur serta amanah dalam menjalankan tugas. Kadang-kadang terdapat juga Pengerusi JKKK bukan ahli kariah masjid malah jauh sekali untuk menanggotai Jawatankuasa Pengurusan Masjid kerana beliau jarang-jarang ke masjid kecuali untuk solat Jumaat. Maklumlah kini, ramai pengerusi JKKK adalah kontraktor sekurang-kurangnya kelas F!. Sebenarnya, Pengerusi JKKK perlu juga menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Masjid sebagai pemudahcara dengan YB di kawasan masing-masing serta sebagai mata dan telinga masyarakat dibawah jagaannya.
Penulis berpendapat, mungkin 20 tahun akan datang Pengerusi JKKK adalah kakitangan tetap kerajaan negeri dan berkelulusan sekurang-kurangnya SPM (Gred 17) dan keatas. Kalau dalam perjawatan KEMAS jawatan setarafnya kini adalah Pemaju Masyarakat.
Sebenarnya, Terengganu tidak memerlukan kehadiran jentera UMNO daripada seluruh negeri dalam PRK 036 baru-baru ini. Bagi penulis jentera UMNO Kuala Terengganu sudah cukup untuk menjalankan tugas itu. Ini adalah kerana penduduk dan pengundi cepat jemu dengan kehadiran bermacam-macam ragam jentera dari negeri lain. Lagipun rakyat Kuala Terengganu sudah tahu siapa calon kesukaan mereka.
Bagi penulis, PRK Bukit Gantang & Selambau tidak perlu dengan kehadiran jentera luar tambahan pula dengan zaman kegawatan ekonomi ini. Bahkan jumlah bendera dan poster perlu dikurangkan selaras dengan saranan pemimpin utama kepada rakyat untuk berjimat! Rakyat cukup faham dan tahu kerana jentera UMNO telah ditaja sepenuhnya oleh Badan Perhungan masing-masing untuk bertugas pada PRK ini. Secara jujurnya, tiada seorang pun ahli UMNO yang sanggup pergi dan menghabiskan wang saku sendiri! Jentera PAS dan barisan pembangkan pula hadir dengan wang saku masing-masing serta sanggup menghabiskan apa jua. Bagi penyokong dan pendokong PAS mereka keluar untuk berdakwah. Ini jelas perbezaan yang ketara yang sama-sama dapat fikirkan antara keikhlasan dan perjuangan yang jujur serta amanah.
Sekian.
Penulis mewakili suara belia dan suara pengundi atas pagar, tidak memihak.

Tuesday, January 20, 2009

Setahun Kuala Terengganu di tinggalkan....

Salam bloggers..
Genaplah setahun aku merantau ke utara tanahair demi tuntutan nafkah keluarga. Setahun juga ku tinggalkan Kuala Terengganu. Sebelum aku merantau Kuala Terengganu telah diistyiharkan Bandaraya Kuala Terengganu.
Dalam masa setahun juga dua pilihanraya di Parlimen Kuala Terengganu. Pilihanraya umum dan pilihanraya kecil P036. Parti yang sama bertanding dan diwakili calon yang berlainan. Keputusan juga berubah menjadi 1-1. Dalam masa setahun juga Kuala Terengganu tidak berubah, yang ada hanyalah Hotel Felda. The Heritage Bay telah dipadam dengan The Riyadz Heritage & Spa. Stadium Sultan Mizan yang baru siap untuk Sukma 2008.
Memandangkan Kelantan diperintah oleh PAS, aku rasa elok kita bandingkan kemajuan dan kelembapan 2 sistem pentadbiran ini. Di Kelantan hotel-hotel bersepah dan ada yang dimiliki usahawan bumiputera Kelantan begitu juga dengan Pusat Perubatan Swasta yang bertaraf nasional seperti Hospital Pakar Perdana (KPJ) dan Kota Bharu Medical Centre (KBMC) . Walaupun Kelantan negeri miskin, namun kuasa beli rakyatnya jauh lebih baik daripada kuasa beli rakyat Terengganu. Lihatlah di Kuala Terengganu sendiri hanya satu hospital swasta, Kuala Terengganu Specialist (KTS) itu pun dipaksa adakan secara tergesa-gesa oleh Datuk Wan Hisham (Pengerusi TDM Berhad 2004 - 2008). Untuk makluman KTS dimiliki sepenuhnya oleh TDM Berhad.
Bukan itu sahaja, banyak lagi tempat di Terengganu yang tiada perubahan seperti Kuala Berang, Ajil, Langkap, Telemong, Hulu Besut, Jabi, Permaisuri, Tepoh. Daerah Dungun dan Kemaman usahla cerita memandangkan kedua-dua daerah ini telah dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Kemaman dan diikuti oleh Majlis Perbandaran Dungun.
Aku masih ingat ucapan YB Datuk Tengku Putera Awang tentang rancangan pembinaan Lapangan Terbang 'impiannya' di Hulu Terengganu. Impiannya hanyut bersama-sama jawatan Timbalan Menteri Kewangan II suatu masa dulu.
Dalam tempoh setahun berulang alik ke Terengganu aku tak pernah jumpa YB Parlimen/YB ADUN dari Terengganu naik bas ekspress. Tapi aku terserempak dengan Ketua Pemuda PAS, YB Salahuddin Ayub - Ahli Parlimen Kubang Kerian yang naik bas Mutiara Express ke Kota Bharu selepas siangnya bertungkus lumus di sidang parlimen. Mungkin kebetulan. Ternyata beliau merasai nikmat dan bagaimana rakwat bawahan menaiki bas ekspress tanpa membuat hebahan serta memanggil petugas media untuk rakamkan gambarnya yang sebagaimana di buat oleh pemimpin UMNO dan BN.
Aku bukan anti UMNO dan BN. Aku masih aku yang tidak berparti dan bagiku parti hanya membuang masa. Pilihanraya 2008 aku membuat keputusan untuk tidak turut serta biar apa pun terjadi kerana tempat pengundianku sayup di Parlimen Dungun. Daripada menghabiskan beratus-ratus RM kos minyak lebih baik jangan keluar mengundi. Duit selamat, hati senang. Bukan boleh claim pun.
Bye...

Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT TAHUN BARU 2009

Salam blogger....

2008 ditinggalkan dengan pelbagai kejadian suka & duka.
2009 membuka lembaran baru...

Adakah azam 2008 sudah termakbul?
atau disambung semula 2009?

Dalam politik 2008 tinggalkan kenangan pahit...
Ramai pemimpin UMNO, MCA & MIC diusir dari kerusi empuk.
Tiada lagi kedengaran suara Sammy Vellu, Rafidah Aziz, Chua Soi Lek di Parlimen

2008 juga 2 MB UMNO bertukar tangan, Perlis dan Terengganu
5 MB baru dari Pakatan Rakyat
Pak Lah janji undur Mac 2009....
sama-sama kita saksikan

Monday, December 15, 2008

Pilihanraya Kecil P036... Pilihlah calonnya!

Salam bloggers...
Kuala Terengganu bakal meriah dengan poster-poster, markas-markas parti politik sepanjang kempen pilihanraya kecil ini. Pilihanraya kecil yang pertama di tahun baru 2009. Ianya menguji jentera poltik sama ada kerajaan atau pembangkang yang mana semua mahukan kemenangan pilihanraya ini. Masing-masing memancing para pengundi atas pagar (golongan tidak berparti) dan golongan belia.
Dipihak kerajaan pula pelbagai projek segera dimula dan dilaksanakan. Banyak jalan-jalan kampung yang bakal berturap dan yang penting longkang-longkang yang tersumbat akan dibaiki dan digali semula. Banyak lagi projek perumahan rakyat akan dilaksanakan. Tambahan pula SPNB belum bertapak di Terengganu. Insya Allah tahun depan jika musim tengkujuh Pasar Kedai Payang dan taman-taman perumahan yang dilanda banjir baru-baru ini tidak akan mengalaminya lagi. Banyak lagi majlis mesra rakyat, mesra pemimpin dan seluruh jentera kerajaan pusat akan turun ke Kuala Terengganu sama ada untuk berpeluh, bergotong royong dengan rakyat jelata dapat kita saksikan. Rakyat Terengganu bakal peroleh nikmat & rezeki di tahun baru 2009. Bukan tugas mudah untuk UMNO menang kerana 3 daripada 4 DUN dalam parlimen di kuasai oleh pembangkang. DUN Batu Burok - YB Syed Azman, DUN Wakaf Mempelam - Wahid Endut & DUN Ladang - YB Tengku Hassan.
Pembangkang akan menggunakan seluruh jentera dan sayapnya untuk memenangi kerusi Parlimen ini. Pelbagai usaha akan dilakukan tambahan pula ramai calon-calon bebas berminat untuk glamour dalam pilihanraya kali ini. Penulis bukannya tidak sukakan calon bebas? Tapi siapakah calon bebas itu? Saudara kitakah atau orang kampung kita? Jika menang apakah dia akan membantu kita? Kalau sekadar untuk mengisi jawatan kosong dan menerima elaun bulanan RM 5-6 ribu sebulan adalah lebih baik undi calon yang kita kenal dan yakin padanya.
Penulis adalah golongan yang tidak berparti, bukan tidak berminat tetapi penulis inginkan mana-mana parti yang inginkan khidmat dan sumbangan perlu tampil temui penulis. Sebabnya hingga kini tiada seorangpun yang bertanya tentang keahlian parti kepada penulis. Dulu penulis memang tinggal dan bekerja di Terengganu dan anak jati Terengganu. Mengundi pun kat Terengganu. Kini berhijrah ke utara tanahair dan pulang sebulan sekali ke Terengganu. Jikalau musim pilihanraya ramai pula meraih undi inginkan sokongan, namun selepas pilihanraya hilanglah para peraih undi yang berbayar ini bersama-sama dengan pemimpin yang dipilih. Musim pilihanraya bukan main lagi calon-calon bermurah hati semua kedai, restoren yang dihadirinya dijamu semua. Jalan kampung, semak samun, kebun getah, dusun sanggup diredah. Sanggup naik motosikal kapcai... berbasikal.... Kereta Mercedes Benz , MPV Harrier, CRV, dan macam-macam lagi le MPV sanggup ditinggalkan. MP & ADUN tak pakai dah pajero sekarang ni... Setakat Proton Perdana V6 apa kelasnya? Orang kampung boleh pakai zaman sekarang ni. Kalau kat Kelantan bersepah-sepah anak muda yang pakai Perdana V6!, siap dengan penubuhan kelab lagi. Dulu, kat Kuala Terengganu Mercedes model baru ada yang dibuat teksi!!
Tetapi selepas musim pilihanraya, tempat untuk YB-YB berjumpa ialah di Pejabat Wakil Rakyat. Kerusi empuk, bilik berhawa dingin dan set sofa yang mahal. Itu pun kalau bernasib baik boleh le jumpa, kalau tidak berjumpalah dengan Pegawai Khas atau Kerani YB sahaja. Nak berjumpa dengan YB pun macam-macam soalan akan ditanya oleh Pegawai Khas atau Kerani YB ni. Ahli cawangan dan mengundi dimana? Biasalah YB sibuk..... ada meeting
Dalam bab pilihanraya kecil kali ini, penulis ingin sarankan penduduk Parlimen Kuala Terengganu pilihlah calon-calon yang kita kenal dan akan bantu kita dan penduduk kampung. Pilihlah saudara-mara dan kaum kerabat dulu. Yang paling penting pilihlah calon yang berakhlak mulia, berwibawa dan mampu memimpin penduduk. Pemimpin yang hebat dan berakhlak mulia bukan sekadar hebat berhujah, berpidato, mempunyai PhD dan sarjana sahaja malah mampu mengubah nasib rakyat dan ketamadunan bangsa. Mengundilah untuk tokoh yang kita fikir hebat dan bukannya memilih parti.. Parti tidak mempunyai apa-apa. Sekadar lambang yang tidak beerti di akhirat kelak.
Pilih lah calon... bukan partinya!
Insan yang bebas & tidak berpihak mana-mana parti.
Lu.. Fikirlah sendiri..

Tokoh Bangsa Melayu

Salam bloggers, khas untuk tatapan blogers.....

Abdullah Munyi (1882)

Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adalah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?